Saturday, July 14, 2012

Beginilah Kami Meraikan Ramadhan (Bahagian 2)

Seminggu berlalu.

Pada minggu ini, 14 Julai,  kami akan menziarahi rumah anak-anak yatim BEDAYA. Aktivti kami bermula pada pukul 2.30 petang - 5.30 petang.


Inilah beg-beg untuk disumbangkan. Semuanya berjumlah 31 beg. Sudah siap disusun di atas meja.

Kami berlatih dahulu sebelum membuat persembahan di surau rumah BEDAYA. Yang tidak memakai baju melayu itu ialah penasyid import secara mengejut.

 
Adik-adik perempuan Ikram Junior pula menolong kakak fasi menyusun makanan.


Majlis kami dimulakan dengan Tazkirah Persediaan Menyambut Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Shahimi. Ustaz juga memperkenalkan kepada hadirin tentang NGO IKRAM.



Ustaz Shahimi



Adik-adik rumah BEDAYA. Kasihan mereka, keletihan. Pada sebelah pagi, mereka ada program dengan kumpulan nasyid yang datang membuat promosi. Sebelah petang pula bersama kami.

Kami juga mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Shahimi


Selepas sesi tazkirah, kami ada sesi kuiz. Soalannya sekitar pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Shahimi. Adik-adik dan kakak Ikram Junior akan memikirkan soalan-soalannya dan adik-adik Bedaya akan menjawab soalan tersebut. Siapa yang menjawab dengan betul, akan diberikan hadiah :)


 
Tanpa membuang masa, setelah sesi kuiz tadi, kami sajikan para hadirin dengan persembahan nasyid - Marhaban Ya Ramadhan.



Sebelum Ustaz Shahimi balik, Ikram Junior menyampaikan sedikit cenderahati sebagai tanda terima kasih di atas kesudian meluangkan masa bersama kami.



Jam sudah menunjukkan 3.45 petang. Untuk mencergaskan diri, apa kata kita main dulu. Antara lain tujuannya ialah, merapatkan ukhuwwah. 

Ketua kumpulan perlu mengambil tali untuk ahli kumpulannya



Tali itu akan digunakan untuk diikat pada kaki mereka. Contohnya seperti kumpulan ini.

Ikat jangan tidak ikat kaki tu. Sebelum permainan bermula, mereka dikehendaki berkenal-kenalan dahulu serta mengingati nama ahli kumpulan mereka.


Permainan pun bermula. Mereka dikehendaki mengiring dan bergerak ke hadapan.


Hati-hati jangan sampai tali terputus


Setelah tiba di check point, ahli kumpulan yang ditunjuk oleh fasi dikehendaki menyebut nama ahli kumpulan mereka satu per satu.




Adik Ikram Junior menyebut kesemua nama ahli kumpulannya



Setelah berjaya menyebut nama ahli kumpulan, mereka perlu meneruskan ke check point asal tadi.Sebelum itu, pastikan dahulu, kaki semua terikat dengan kemas.


Siapa cepat sampai, dia dikira pemenang. Juaranya ialah kumpulan yang idketuai oleh Asri (adik Bedaya).



Selepas bermain, kita makan.




Ada pelbagai makanan - bihun, kek coklat, kuih talam dan air sirap yang sedap. Makan jangan tidak makan.



Sebelum kami balik, kira-kira pukul 4.30 petang, kami perlu menyerahkan beg sumbangan ini dahulu. Setiap ahli Ikram Junior (lelaki) menggalas 3 buah beg untuk diserahkan kepada adik-adik Bedaya.




Seronok menggalas beg


Kanak-kanak yang sangat bersemangat menyampaikan sumbangan.




Bersiap-sedia 

Hafiz yang comel menyampaikan sumbangan. Habis pipi dicubit-cubit.

Bergambar beramai-ramai. Sumbangan ini sangatlah tidak seberapa. Semoga boleh memberi sedikit keceriaan kepada adik-adik di rumah Bedaya.  Ya Allah, cintailah dan kasihi mereka.

Hari ini adik-adik Ikram Junior tidak mendapat apa-apa hadiah seperti kebiasaan program. Jikalau mereka bertanya, kenapa mereka tidak mendapat hadiah seperti itu, maka jawab kami, hari ini kita mendapat pahala.

Kami meninggalkan rumah Bedaya pada pukul 5.30 petang setelah menunaikan Solat Asar. Ya Allah terimalah amalan kami ini. Terima kasih kepada Kak Bi, Yun, Kak Ram, Sarah, Fifi dan Nani. Tanpa anda program ini tidak boleh berjalan dengan baik. Anda semangat Ikram Junior.

Beginilah Kami Meraikan Ramadhan (Bahagian 1)


Ramadhan Datang Lagi.

Ikram Junior (Kulim) raikan kedatangan Ramadhan sekali lagi. Jikalau pada tahun lepas, kami raikan kedatangan bulan yang mulia ini bersama-sama dengan kanak-kanak di Kulim Square dan Ikram Junior (Sungai Petani) dengan aktiviti seperti Explorace Ramadhan, Ceramah, dan Pecah Tabung Palestin tetapi pada tahun ini kami sedikit berbeza.

Misi kami pada tahun ini ialah menggembirakan anak-anak yatim. Secara tidak langsung, memberi pendedahan dan mengajar ahli Ikram Junior bersedekah.

Aktivti kami bermula pada 7 Julai 2012, pukul 8.30 pagi - 11.30 pagi di Pejabat Ikram.

Seperti biasa, kami dahulukan program dengan menunaikan Solat Sunat Dhuha.

Selepas itu, kami dijamu dengan tazkirah pendek - Ikram Junior Raikan Ramadhan. Pendek sahaja tazkirah ini. Antara isi penting ialah, kami baru menyedari yang bukan manusia sahaja yang berpuasa di muka bumi ini, tetapi juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Subhanallah.


Kami sedang bersiap sedia mendengar


Ya, Ramadhan Datang Lagi !


Sambil mendengar, kami juga suka beramah mesra dengan kawan-kawan



Adik-adik perempuan seperti biasa dengan sopan dan santunnya

Ketika sesi tazkirah dijalankan, ada pelbagai aktiviti. Ada kuiz dan sesi mengingati niat puasa di bulan Ramadhan


Tazkirah selesai pada pukul 9.45 pagi. Selepas itu makan pagi. Tepat pukul 10 pagi, kami berkumpul semula untuk tugas-tugas khas.

Ketika sesi tazkirah dijalankan, kami diberitahu, antara amalan baik ketika bulan Ramadhan ialah bersedekah dan menggembirakan anak yatim. Kami diberitahu yang kami akan pergi menziarahi rumah anak-anak yatim pada minggu hadapan.

Oleh kerana itu, kami perlu memberi sedikit sumbangan sempena ziarah itu. Sebelum ini, kami sudah diberitahu awal-awal untuk membawa sumbangan berjumlah RM5 dan barangan pada perjumpaan kali ini.

Oleh itu, pada pukul 10 pagi ini, kami akan melakukan sedikit persiapan untuk dibawa ke rumah anak-anak yatim pada minggu hadapan.


 
Ada antara kami yang tidak boleh hadir pada minggu hadapan, jadi kami pun membuat kad ucapan khas. Malangnya ketika sudah siap, baru kami perasan kami tersilap tulis.  Kami tertulis Kami Kamu Sayang. Sepatutnya, Kami Sayang Kamu.
  
Adik-adik perempuan pula membungkus barang-barang yang disumbangkan. Seronoknya!
 
 
Kumpulan ini pula mencantikkan bungkusan tadi.
Lenguh juga tangan untuk membentuk 'ribbon' pada bungkusan ini.



Kami juga membuat sampul duit Ramadhan yang cantik


Ini beg untuk disumbangkan. Semua barang-barang yang kami bungkus dimasukkan di sini. Cantikkan!


Inilah barang-barang yang disumbangkan oleh Ikram Junior. Terima kasih wahai yang baik hati bersedekah.


Bukan itu sahaja, adik lelaki juga akan mempersembahkan nasyid pada minggu hadapan. Ini sesi latihan mengejut.

Program pada minggu ini tamat pada pukul 11.30 pagi. Setelah kami bersalam-salaman, adik-adik diberi seorang satu 'goodies' Ramadhan.
 
Selamat Menyambut Ramadhan. Jangan Lupa Berpuasa :)