Saturday, February 26, 2011

Jejak Rasul

Alhamdulillah!

Program Ikram Kidz sekali lagi menemui adik-adik pada 19 Februari lepas. Sempena kelahiran Nabi junjungan kita, Muhammad saw, maka tema kita pada kali ini ialah Jejak Rasul.

Adik-adik yang mengikuti Famili Aulad pada bulan Januari, sekali lagi menghadirkan diri untuk program kedua ini. Bersemangat sungguh. Mereka juga tidak lupa membawa "amanah" mereka seperti fail, penanda buku, kad bintang Famili Aulad dan tag nama.

Ini memang menakjubkan. Tidak sangka sama sekali adik-adik kita pandai menjaga amanah mereka walaupun kakak fasi tidak memberi peringatan ketika program Famili Aulad 23 Januari lepas. Oleh kerana itu, kakak fasi bermurah hati memberi 20 bintang kepada adik-adik yang membawa amanah mereka dengan lengkap. Satu amanah sama dengan 5 bintang.

Program pada kali ini agak berbeza daripada Famili Aulad. Adik-adik dibahagikan kepada kumpulan mengikut tahap umur dan jantina. Tahap 1 berumur dari 7 - 9 tahun manakala Tahap 2 berumur dari 10 - 12 tahun. Jumlah kumpulan ada 4 kesemuanya.

Masa pendaftaran ialah pada pukul 8.30 - 8.45 pagi. Sesi pertama program bermula pada pukul 8.45 pagi dan berakhir pada pukul 9.45 pagi sebelum masa rehat.

Sesi pertama ini lebih berkonsepkan story telling. Tetapi sebelum itu, adik-adik perlu melengkapkan kepingan jigsaw terlebih dahulu untuk mengetahui tajuk cerita yang kakak fasi mahu ceritakan. Kreatif bukan. Semestinya, kepingan jigsaw itu berbeza mengikut tahap umur adik-adik kita.

Kakak fasi memilih cerita Keldai Halimatus Saadiah yang dipetik melalui buku Kisah Haiwan Makkah Zaman Rasulullah saw karya Fatimah Syarha untuk Tahap 1 manakala Tahap 2 pula kakak fasi bercerita tentang Khalid Al-Walid yang diinspirasikan melalui buku komik Khalid Al-Walid terbitan Telaga Biru.

SESI PERTAMA

Tahap 1 : Danial, Irfan, Anas dan Thalhah menyusun
kepingan cerita Keldai Halimatus Saadiah


Tahap 1 : Aqilah dan Aida yang sentiasa cool.
Minggu ini, mereka hanya berdua.

Tahap 2 : Mawaddah, Puteri, Sarah, Yati, Aini dan Iffah.
Yeh! Inilah juaranya untuk Tahap 2. Agak susah juga
kepingan jigsaw untuk komik Khalid Al-Walid. Tahniah!

Tahap 2 : Suhail, Thalhah, Afif dan Rosidi.
Mereka tidak berjaya melengkapkan jigsaw puzzle itu.
Walaubagaimanapun, kakak fasi tetap tabik spring dengan
semangat mereka yang terus mencuba.

Tahap 1 : Sesi Bercerita
Cuba perhatikan adik-adik itu. Mereka sangat teruja bukan.

Perasan atau tidak. Sebentar tadi mereka berada di tengah-tengah tikar.
Sekarang, mereka sudah di sudut tikar.

Ya. Mereka betul-betul hampir mendekati dinding.
Kakak fasi sendiri kurang faham bagaimana mereka
boleh begerak tanpa disedari. Hehe.

Tahap 2 : Sesi Bercerita
Kakak fasi sangat bersemangat bercerita. Kakak fasi
doakan semoga adik-adik berjaya meneladani Khalid Al-Walid.
Oh. Ya. Ketika ini, Abdullah Munzir dan Udin
berjaya sampai ke program Jejak Rasul.
Ingatkan tidak hadir tadi.

Sesi pertama selesai kira-kira pukul 9.50 pagi. Masa untuk menjamu makanan. Tidak lupa, sambil makan-makan, ada juga selingan tayangan video Muhammad Al-Fateh. Kira-kira pukul 10.30 pagi, sesi kedua bermula.

Sesi kedua ini lebih kepada aktiviti Quran. Kakak dan makcik fasi akan menyemak bacaan adik-adik. Surah yang dibaca pada kali ini ialah Surah An-Naas. Tetapi sebelum itu, ada juga aktivti permainan.

Tahap 1 diberi tugas menghias kertas A4 yang mengandungi Surah An-Naas menggunakan keratan-keratan gambar yang diperolehi dari Majalah Asuh yang sudah tidak digunakan lagi. Nah! Ini hasilnya. Cantik bukan.

SESI KEDUA

Ini cara dekorasi adik-adik perempuan.

Cantik bukan. Kakak fasi selalu musykil. Mungkin ada bantuan
tangan daripada makcik fasi. Hehe.

2 adik beradik yang lucu. Thalhah dan Anas. Eh!
Agaknya apa yang Anas pegang itu?

Tahap 2 pula bermain dengan 3D Jigsaw Puzzle. Mereka dikehendaki membina kepingan jigsaw itu menjadi menara condong atau London Bridge. Binaan London Bridge agak mencabar. Oleh itu, sesiapa yang sukarela menawarkan diri membuat binaan tersebut, kakak fasi akan memberikan tambahan markah yang lumayan.

Mesej di sebalik permainan ini ialah melatih adik-adik kita bekerjasama, pandai membahagi-bahagikan tugas dan bersabar. Kakak dan makcik fasi perlu memantau dan membantu adik-adik agar elemen ini berjaya diterapkan di dalam diri adik-adik. Menang atau kalah itu tidak penting. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana adik-adik boleh memupuk akhlak mulia sesama kawan-kawan.

Juara untuk binaan 3D Jigsaw Puzzle. Munzir, Thalhah dan Suhail.
Tahniah!

Ini tempat kedua. Afif, Rosidi dan Udin.
Tahniah juga ya!

Ini tempat ketiga pula. Sarah, Puteri dan Mawaddah.
Akhirnya siap juga binaan ini.

Aini, Yati dan Iffah secara sukarela memilih binaan
London Bridge. Walaupun binaan itu tidak siap, tidak mengapa.
Cuba lagi di masa akan datang.

Program Jejak Rasul sudah sampai ke penghujugnya. Masa sudah melebihi 11.30 pagi. Tetapi sebelum itu, sekali lagi, pimpinan Ikram Kidz memberi hadiah galakan kepada adik-adik yang memiliki bintang terbanyak bermula dari program pertama. Selepas itu, adik-adik dan kakak fasi bersalam-salaman dan saling berpesan-pesan, "Kita Jumpa Lagi Pada 19 Mac dengan tema Ana Muslim". Mai, jangan tak mai!

Wassalam